TERMA DAN SYARAT

ATURCARA PAKEJ

  1. Tiada Jaminan Kesesuaian Aturcara.
    Walaupun DTSB berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik, DTSB tidak memberi jaminan bahawa semua aturcara yang disediakan adalah tidak berisiko dan sesuai untuk semua peringkat umur atau individu yang mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik. DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan atau menanggung liabiliti sekiranya timbul sebarang masalah, kesakitan, kecelakaan atau kematian akibat dari mana-mana bahagian aturcara pakej yang anda ikuti samaada aturcara tersebut dinyatakan di dalam surat pengesahan, iklan atau brosur DTSB atau aturcara pilihan anda sendiri. Anda adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengamalkan sikap berhati-hati sepanjang mengikuti pakej DTSB.
  2. Kemungkinan Pertukaran Aturcara.
    Tertakluk kepada peraturan 9 Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992, sekiranya berlaku pertukaran aturcara dan DTSB terpaksa mengadakan aturcara alternatif sebagai ganti, DTSB tidak bertanggungjawab untuk memastikan bahawa aturcara alternatif tersebut menyamai kos atau mempunyai nilai yang serupa dengan aturcara asal yang diganti.

PENGINAPAN HOTEL

  1. Klasifikasi Penginapan.
    Taraf bintang hotel yang dinyatakan di dalam mana-mana iklan, brosur atau surat menyurat dari DTSB adalah pentarafan yang diberikan oleh pihak hotel tersebut kepada DTSB sebagai rujukan sahaja. Penarafan hotel dan jumlah bintang mungkin berbeza dari satu negara ke negara yang lain. DTSB tidak boleh memberi sebarang jaminan tentang kesesuaian hotel tersebut mengikut penarafan hotel seperti yang diiklankan. Anda tidak boleh membatalkan pakej anda di atas alasan kekhilafan penarafan hotel.
  2. Perubahan Hotel.
    DTSB berhak untuk mengubah hotel penginapan dari hotel yang dinyatakan di dalam brosur atau surat pengesahan pakej di atas sebab-sebab tiada kekosongan atau masalah kerosakan bilik dengan syarat notis awal dimaklumkan kepada anda sekurang-kurangnya 24 jam dari tarikh masuk ke hotel tersebut. Sekiranya berlaku, DTSB tidak memberi jaminan tetapi akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan hotel penginapan ganti yang setaraf atau lebih baik. DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan atau menanggung liabiliti bagi sebarang masalah yang timbul akibat dari penggantian hotel penginapan tersebut.
  3. Polisi Hotel.
    Polisi mengenai waktu kemasukan (check-in) dan keluar (check-out) hotel penginapan adalah berbeza mengikut polisi hotel berkenaan. DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan atau menanggung liabiliti kesusahan yang anda alami akibat dari kuatkuasa polisi check-in dan check-out hotel berkenaan.
  4. Jenis dan klasifikasi bilik.
    Jenis dan klasifikasi bilik termasuk ameniti (kemudahan) yang disediakan di dalam bilik tersebut adalah berbeza mengikut hotel dan negara destinasi. DTSB tidak memberi jaminan bahawa bilik penginapan anda akan sama seperti yang digambarkan di dalam iklan atau brosur kami. DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan atau menanggung liabiliti kesusahan yang anda alami akibat dari perbezaan jenis dan klasifikasi bilik yang anda terima atau disebabkan oleh kekurangan ameniti yang ada di dalam bilik tersebut.

PENGESAHAN MAKLUMAT BUTIRAN PAKEJ YANG BETUL

Anda dikehendaki menyemak maklumat mengenai pakej yang ditempah sebelum membuat pembayaran deposit termasuk tetapi tidak terhad kepada harga pakej, tarikh penerbangan pergi dan balik dan waktu berlepas dan ketibaan, pakej yang dipilih termasuk hotel penginapan dan jenis bilik yang dipilih dan lain-lain maklumat seperti yang tertera pada resit pembayaran dan/atau surat pengesahan.

Anda adalah dianggap telah bersetuju dengan semua maklumat di dalam resit atau surat pengesahan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang risiko atau kos tambahan pada pakej anda sekiranya anda gagal melaporkan sebarang kesilapan atau peninggalan di dalam butiran pakej anda dalam tempoh 24 jam dari tarikh resit atau surat pengesahan dikeluarkan.

KETEPATAN BUTIRAN ATAU MAKLUMAT PERIBADI SEMASA PENEMPAHAN PAKEJ.

Semasa penempahan pakej, semua butiran yang anda beri kepada DTSB adalah maklumat yang akan diguna pakai oleh syarikat bagi menyempurnakan pakej yang anda langgani. Anda dikehendaki menyemak semua butiran/ maklumat peribadi sendiri sebelum membuat pembayaran deposit dan sekiranya tiada pembetulan dibuat, semua maklumat diberi adalah dianggap benar dan muktamad.DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kejadian atau masalah yang timbul akibat dari kesilapan butiran atau maklumat peribadi yang anda beri.

Anda adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengisytiharkan tahap kesihatan anda sebelum membuat pembayaran deposit. DTSB berhak untuk menolak tempahan anda sekiranya tahap kesihatan anda didapati membahayakan kesihatan dan keselamatan diri sendiri atau mengurangkan keselesaan atau keseronokan anggota lain di dalam kumpulan pelancongan anda.

Sekiranya anda memerlukan bantuan disebabkan oleh tahap kesihatan anda, anda diwajibkan membawa ahli keluarga lain untuk membantu anda sepanjang perjalanan dan membawa sendiri peralatan bantuan seperti kerusi roda dan ubat-ubatan sendiri.

DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga anda secara peribadi atau memberikan ubat-ubatan sekiranya anda sakit. Sekiranya keadaan anda memerlukan penjagaan secara peribadi, DTSB berhak mengenakan bayaran tambahan kepada anda bagi mengupah pihak ketiga untuk menjaga anda.

PERLINDUNGAN INSURANS PERJALANAN TAMBAHAN

DTSB hanya menyediakan perlindungan takaful berkelompok yang terhad seperti yang dinyatakan di dalam brosur. Sepertimana peruntukan peraturan 12 Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992, anda adalah sangat disarankan untuk mengambil insurans perjalanan tambahan untuk melindungi perjalanan anda. Anda bebas memilih syarikat insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda dan jenis perlindungan yang terbaik untuk diri anda.

Apabila anda memilih untuk tidak mengambil insurans perjalanan tambahan, ianya bermaksud anda telah mengetahui dan bersetuju untuk menerima liabiliti dan risiko penalti pembatalan, gantirugi dan perbelanjaan tambahan di luar jangkaan tetapi tidak terhad kepada perbelanjaan kecemasan perubatan semasa perjalanan.

Sekiranya anda telah membeli insurans tambahan, anda adalah dinasihatkan supaya menyemak semula terma-terma yang terkandung di dalam polisi insurans tersebut bagi memastikan bahawa perlindungan yang diperolehi mencukupi.

DHUHA TRAVEL SEBAGAI PIHAK KETIGA/PIHAK BERKECUALI

DTSB adalah hanya perantara di antara anda dan syarikat-syarikat penerbangan, hotel penginapan, pengangkutan dan/atau pembekal perkhidmatan (ground supplier). DTSB adalah bukan pemilik atau pengendali mana-mana syarikat penerbangan atau pengangkutan, hotel penginapan atau mana-mana tempat lawatan atau mana-mana pembekal yang berkaitan dengan pakej anda.

Oleh yang demikian, DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi apa-apa kehilangan, kerosakan, kelewatan, kesusahan atau kecederaan yang menimpa anda akibat dari pecah kontrak, peninggalan samada disengajakan atau tidak atau kecuaian oleh syarikat penerbangan, syarikat hotel penginapan, syarikat pengangkutan dan pembekal perkhidmatan (ground supplier).

Anda adalah dinasihatkan supaya membaca dengan teliti syarat-syarat dan terma tambahan ini sebelum bersetuju untuk melanggani pakej umrah atau percutian DTSB.

Syarat-syarat dan terma ini adalah tambahan kepada peruntukan terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992.

Ianya tidak mengurangkan kuatkuasa peruntukan Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 dan di mana terdapat sebarang percanggahan, terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 adalah terpakai. Sebaik sahaja anda membayar deposit dan/atau menandatangani persetujuan untuk melanggani pakej umrah atau percutian DTSB, anda telah terikat melalui kontrak dengan pihak DTSB dan dianggap telah membaca dan bersetuju dengan semua syarat- syarat dan terma-terma tambahan ini.

PEMBAYARAN PAKEJ

DTSB hanya menerima pembayaran secara tunai, draf bank, kredit kad atau cek persendirian. DTSB berhak menahan penempahan pakej anda sehingga penunaian bayaran deposit melalui draf bank atau cek persendirian anda. DTSB tidak bertanggungjawab sekiranya pakej yang anda tempah telah habis dijual akibat kelewatan penunaian draf bank atau cek persendirian anda.

Bagi pembayaran pakej yang kurang dari 7 hari bekerja sebelum tarikh penerbangan, DTSB berhak untuk menolak pembayaran secara cek persendirian dan sekiranya tiada pembayaran pakej secara tunai dibuat, boleh mengakibatkan pakej anda terbatal secara automatik dan mana-mana bayaran pakej yang telah dibayar dilucutkan mengikut Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992.

TIKET PENERBANGAN

Pakej anda adalah termasuk tiket penerbangan dari KLIA/KLIA 2 ke destinasi yang dituju sahaja tetapi tidak termasuk tiket penerbangan domestik ke KLIA/KLIA2. Walaupun surat pengesahan berserta jadual penerbangan anda telah dicetak, jadual tersebut masih tertakluk kepada pindaan oleh syarikat penerbangan. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku sebarang perubahan atau pindaan jadual penerbangan, DTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebarang gantirugi termasuk tetapi tidak terhad kepada menggantirugi bayaran perubahan tiket domestik, hotel tambahan atau lain-lain kesusahan akibat dari pindaan tersebut. DTSB juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan gantirugi, yang timbul akibat dari pertukaran jadual, kelewatan, pembatalan, missed connection, masalah mekanikal, cuaca buruk, penyusunan semula tempat duduk di dalam penerbangan, kehilangan/ kelewatan bagasi, kelewatan pemeriksaan imigresen dan / atau penolakan menaiki penerbangan oleh syarikat penerbangan.